PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew digesa untuk memberi penjelasan mengenai kaedah digunakannya untuk memasuki Gaza, Palestin baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, Ebit menggunakan syarikat Hala yang mengenakan bayaran mahal bagi membolehkannya memasuki Palestin.
Dia berkata, dalam tempoh sekitar lapan tahun selepas pertukaran kuasa di Mesir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya dapat masuk ke Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles.
“Jumlah maksimum mungkin 200 hingga 300 orang sahaja dapat masuk setahun. Kaedah ini telah diamalkan oleh semua NGO yang telah berjaya beberapa kali keluar dan masuk ke Gaza.
“Kenapa kaedah pasukan EL (Ebit Lew) memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGO boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi,” katanya
Muhammad Nadir berkata, tindakan menggunakan khidmat syarikat itu dibuat hasil daripada desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama dengan Mesir.
Katanya, ia bagi membolehkan pasukan Ebit memasuk ke Gaza tanpa mengira berapa pun kos yang perlu dibayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu.
“Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk. Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza.
“Khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya iaitu $1200 (RM5,090.40) seorang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza,” katanya.
Menurutnya, dengan bayaran tersebut, pembayar akan mendapat layanan istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di ‘bottle neck’ bagi merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk dilalui.
“Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya,” katanya.
Muhammad Nadir mempersoalkan sama ada pihak Ebit bersedia memberi penerangan menganai ratusan ribu ringgit yang dibayar ke syarikat Hala bagi tujuan seperti penginapan dan barangan sumbangan dibeli untuk agihan.
“Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini.
“Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment