MALAYSIAKINI
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendesak Putrajaya memastikan masalah mengenai Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (NIP) yang sedang berlangsung akan dibahaskan dalam sesi parlimen yang akan datang.
Ini termasuk tuduhan beberapa orang menerima suntikan vaksin "kosong" dan dakwaan penjualan temu janji vaksin.
"Orang yang bagi vaksin kosong adalah pengkhianat negara.
"Orang yang jual slot vaksin juga adalah pengkhianat negara.
"Pengkhianat negara dalam “perang lawan Covid-19” mesti dihukum, dan perkara ini mesti dibahas di parlimen pada sidang 26 Julai ke 2 Ogos ini," katanya pada ciapan malam tadi.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata terdapat satu kes 'picagari kosong' di pusat vaksinasi di sebuah kem tentera di Kedah.
Pasukan petugas itu juga mengakui penyiasatan berterusan dilakukan terhadap tuduhan serupa yang melibatkan pusat vaksinasi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC).
Ketiga-tiga insiden itu didakwa berlaku pada 17 Julai.
Pada 30 Jun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin mengakui CITF telah membuat tiga laporan polis mengenai penjualan vaksin dan slot temu janji imunisasi secara haram.
Dalam laporan khas pada 10 Julai, KiniTV mengungkap bagaimana penjenayah menyalahgunakan Sistem Pentadbiran Vaksin Malaysia (MyVAS) untuk menjual temu janji vaksinasi.
Namun, tidak dapat dipastikan jika ahli parlimen akan berpeluang membahaskan isu ini seperti yang disarankan oleh Fahmi memandangkan agenda sidang Dewan Rakyat menyatakan akan ada lima hari untuk taklimat menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan telah memberi jaminan akan ada perbahasan pada sidang Dewan Rakyat akan datang tetapi blok Pakatan Harapan menyatakan keraguannya.
No comments:
Post a Comment