Oleh ZAAIN ZIN dan ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU: Selain diwajibkan menjalani ujian saringan, syarat tambahan seperti sudah lengkap divaksin perlu dikenakan kepada mana-mana individu sebelum memasuki Kelantan, ekoran fenomena ‘balik beraya’ yang dilihat masih berlaku ketika Covid-19 belum reda.
Menjelang Aidiladha, jumlah kenderaan masuk ke Kelantan dilaporkan bertambah, dengan kebanyakan perantau dikatakan merentas negeri menggunakan ‘tiket’ PJJ atau pasangan jarak jauh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, individu terbabit diketahui umum hanya mendapat kebenaran rentas negeri selepas ditapis ketat pihak berkuasa di tempat masing-masing.
Bagaimanapun katanya, tapisan tersebut tidak menjamin penularan wabak dari luar boleh dihalang sepenuhnya, terutama melibatkan perantau yang datang dari negeri-negeri kritikal di Lembah Kelang.
“Pemuda UMNO Kelantan melihat PJJ ini satu isu sosial kemanusiaan. Kita faham mungkin ramai pasangan suami isteri sudah berbulan-bulan tidak berjumpa pasangan, jadi mereka mengambil peluang berjumpa di musim raya.
“Namun kebimbangan PJJ boleh menjadi punca tercetus kluster baru ada, dan kita cadangkan supaya kerajaan kenakan syarat lebih ketat sebelum masuk Kelantan seperti hanya benarkan individu yang sudah lengkap dua dos vaksin selain negatif ujian swab,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan memutuskan setiap individu yang mempunyai kebenaran rentas negeri daripada polis masih perlu menjalani ujian swab, 72 jam sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan.
Jika gagal, mereka masih dibenarkan memasuki negeri ini dengan syarat dikehendaki berbuat demikian di pintu masuk Kelantan iaitu sama ada di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh atau di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Syarat itu dilihat kurang berkesan kerana masih tidak menghalang individu yang tidak bergejala menyebarkan virus Covid-19, kerana mereka tetap dibenarkan memasuki Kelantan sedangkan keputusan ujian swab belum diperoleh.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar yang ditemui dalam majlis penyampaian bakul makanan di Panchor di sini meminta perantau supaya tidak pulang ke kampung, memandangkan kluster terkini di Kelantan juga dicetuskan perantau yang balik kerana ada kematian dalam keluarga.
“Kita minta semua perantau jangan balik kali ini. Bukan tidak suka mereka balik tetapi kita perlu ambil iktibar dengan apa yang berlaku selepas Aidilfitri lalu apabila Covid-19 melonjak tinggi di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, belum ada peningkatan kenderaan dari luar ke Kelantan setakat ini, kecuali pertambahan kira-kira lima peratus sebagaimana dilaporkan di Jeli kelmarin.
Kata beliau, tinjauan anggota mendapati kesesakan dikesan berlaku di
beberapa bandar utama seluruh negeri kerana orang ramai mula keluar
membeli barangan persiapan menyambut Aidiladha. UTUSAN
No comments:
Post a Comment