Monday, July 19, 2021

Kelonggaran bagi penerima vaksin lengkap diumum selepas Aidiladha, kata TPM

Bernama

Perkara itu sedang diteliti jawatankuasa teknikal bagi memastikan jenis kelonggaran yang akan dibenarkan.

 

Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 selepas Hari Raya Aidiladha, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu sedang diteliti jawatankuasa teknikal bagi memastikan jenis kelonggaran yang akan dibenarkan kepada golongan itu.

“Kita juga sedang mengkaji sektor perniagaan mana yang boleh dilonggarkan. Perkara ini kita sedang teliti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan inisiatif Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan hari ini.

Ketika ditanya nasib mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, Ismail berkata perkara itu akan dirujuk kepada kementerian kesihatan.

Sementara itu, mengenai cadangan menaikkan kompaun kepada kilang yang melanggar SOP, Ismail berkata kadar itu tertakluk kepada pindaan ordinan darurat.

Beliau berkata di bawah ordinan darurat, kerajaan sebelum ini telah menaikkan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 kepada RM50,000.

“Darurat akan tamat pada 1 Ogos ini dan kita (kompaun) akan kembali kepada RM1,000,” katanya.

Terdahulu, Ismail yang juga menteri pertahanan melancarkan program ‘Mindef Prihatin’ bagi membantu meringankan beban anggota dan veteran tentera yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata sumbangan daripada anak syarikat kementerian pertahanan, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dan sektor perbankan akan diagihkan dalam bentuk makanan asas serta ditempatkan di masjid untuk kegunaan mereka yang terjejas.

No comments: