Saturday, July 3, 2021

75 premis diarah tutup dalam tempoh seminggu

SEBANYAK 75 premis telah diarahkan tutup sepanjang tempoh seminggu di antara 25 Jun hingga semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid (GAMBAR HIASAN)

SEBANYAK 75 premis telah diarahkan tutup sepanjang tempoh seminggu di antara 25 Jun hingga semalam menerusi operasi pematuhan yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 726 premis telah dikenakan kompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 132,633 premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja telah diperiksa antara 25 Jun sehingga semalam.

Kata beliau, untuk semalam sahaja, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 2,719 pemeriksaan ke atas kilang, 15,981 premis perniagaan dan 94 asrama penempatan pekerja.

Daripada jumlah itu, Ismail Sabri memaklumkan, lima kilang dan 10 premis telah diarahkan tutup kerana dikesan melanggar SOP dan arahan kerajaan.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana telalu banyak pelanggaran arahan kerajaan serta SOP yang telah diwartakan.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 97,561 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,781 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memberitahu seramai 636 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP menerusi pemantauan sama yang dilakukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 597 individu telah dikenakan kompaun manakala 39 lagi direman.

Menurut Ismail Sabri, kesalahan tertinggi yang dicatatkan semalam adalah cubaan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis melibatkan 182 individu.

Beliau berkata, seramai 116 lagi telah ditahan kerana tidak menjaga penjarakan fizikal manakala 94 lagi individu gagal merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis.

“Seramai 89 orang telah dikesan tidak memakai pelitup muka dan 54 individu lagi tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.

“Selain itu, 25 ditangkap kerana membawa penumpang berlebihan; 14 premis gagal mematuhi arahan dan enam lagi disebabkan aktiviti di pusat hiburan,” jelas beliau.

No comments: