Oleh KOSMO!
NEW DELHI – Sekurang-kurangnya lima orang terkorban selepas sebilangan penduduk kampung jatuh ke dalam sebuah perigi ketika mereka cuba menyelamatkan seorang gadis yang terperangkap di dalamnya.
Laman berita IndiaToday melaporkan bahawa kejadian berlaku di Ganj Basoda, daerah Vidisha dalam negeri Madhya Pradesh semalam.
Menurut penduduk tempatan, telaga tersebut mempunyai kedalaman lebih 15 meter (50 kaki) dengan paras air sekitar 6 meter (20 kaki).
Berdasarkan maklumat terkini, lima mayat telah dijumpai dan lebih 15 mangsa berjaya diselamatkan.
“Seramai 13 orang masih hilang,” kata polis sambil menambah, operasi menyelamat masih berjalan di Vidisha.
Mayat kelima berjaya ditemui setelah hampir 21 jam operasi menyelamat dilakukan. Beberapa mangsa lain dikhuatiri masih terperangkap di perigi tersebut.
Menteri tempatan, Vishwas Sarang yang bergegas ke tempat kejadian lewat semalam susulan arahan Ketua Menteri, Shivraj Singh Chouhan, memberitahu saluran berita ANI hari ini bahawa operasi menyelamat diteruskan di Ganjbasoda, Vidisha.
Menurutnya, seramai 19 orang berjaya diselamatkan. Insiden berlaku selepas tanah di sekeliling perigi tersebut runtuh.
“Sukar untuk memberitahu angka korban sebenar sehingga operasi menyelamat berakhir,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment