Sunday, June 6, 2021

Sekolah diteruskan secara PdPR untuk tempoh 25 hari – KPM

 Oleh Herman Hamid

DR RADZI MD JIDIN. / Gambar fail 11 April

SESI persekolahan yang akan bersambung semula mulai 13 dan 14 Jun ini diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, kaedah itu akan berlangsung selama 25 hari persekolahan sehingga cuti pertengahan penggal.

Katanya, ketetapan ini meliputi semua jenis sekolah termasuk sekolah pesendirian dan antarabangsa selepas mengambil kira perkembangan semasa.

“Saya harap jelas, selepas sekolah mula dibuka 13 (Kululan A) dan 14 Jun (Kumpulan B) kita akan laksanakan PdPR untuk tempoh 25 hari persekolahan.

“Jadi murid-murid belajar dari rumah,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu negara hari ini.

Infografik Didik TV

Kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Mengenai apa yang akan berlaku selepas cuti pertengahan penggal, kata Radizi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi penjelasan kemudian bergantung situasi semasa wabak ketika itu.

“Kita akan memaklumkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sekolah dibuka iaitu 25 Julai,” jelasnya.

Sementara itu, Radzi meminta ibu bapa dan pelajar yang berdepan dengan kesukaran PdPR boleh berhubung terus dengan pihak sekolah.

“Ini bagi memastikan jika terdapat isu-isu tertentu boleh disampaikan kepada bukan sahaja guru tetapi juga sekolah.

“Di pihak KPM, kita maklumkan kepada sekolah supaya ambil pandangan ibu bapa dan pelajar dalam memastikan kita dapat tambah baik PdPR dalam tempoh ini dan mungkin akan datang jika diperlukan.

“Pada masa sama, KPM juga akan terus tingkatkan latihan kepada guru-guru khususnya dalam konteks PdPR,” ujarnya.

Katanya, pada masa sama, saluran tv pendidikan iaitu Didik TV juga menjadi salah satu kaedah bagi pelajar yang berdepan kekangan internet.

Menurut Radizi, ketika Didik TV dilancarkan Februari lalu, KPM sudah bersedia mengenai apa sahaja kemungkinan (penularan wabak) walau ketika itu ada yang mempersoalkan kerana sekolah kembali dibuka tidak lama selepas ia dilancarkan.

“Kita akan teruskan DidikTV ini dengan 15 jam waktu siasaran sehari,” katanya.

No comments: