PETALING JAYA: Empat individu termasuk tiga peneroka dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa kebenaran dengan menggunakan alasan mahu membeli makanan dan pasir kucing serta membeli baja, di Jempol, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Jempol Hoo Chang Hook berkata, semua individu berkenaan dari Felda Palong Timur, Segamat dan mahu ke Pusat Bandar Felda Palong 4,5 dan 6.
Mereka yang berusia dari 38 hingga 68 tahun itu ditahan polis yang menjalankan tugas pemantauan di jalan Felda Palong Enam, pada 1.35 tengah hari semalam.
“Alasan tidak munasabah selain tiada surat kebenaran rentas negeri menyebabkan kesemua mereka dikompaun.
“Lokasi kompaun pula bukan laluan tikus, sebaliknya laluan utama antara dua lokasi berkenaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Chang Hook berkata, berikutan tiada sekatan jalan raya di laluan berkenaan, polis akan mengadakan pemantauan lebih kerap bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri dilakukan penduduk.
“Katanya semua individu berkenaan merentas negeri secara berasingan,” katanya.
No comments:
Post a Comment