Ahad, 23 Mei 2021

Tempahan vaksin AstraZeneca esok hanya dibuka untuk warga emas

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
- AFP

PUTRAJAYA:  Tempahan slot janji temu suntikan vaksin AstraZeneca yang akan dibuka semula pada esok bakal menawarkan 1,240,000 dos kepada warga emas.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif ini akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai untuk dos pertama di lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ).

Lokasi itu ialah Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang; Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru; Borneo Convention Center Kuching, Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak.

Selain itu ialah World Trade Centre Kuala Lumpur; Universiti Malaya, Kuala Lumpur;  Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor; Ideal Convention Centre, Shah Alam, Selangor.

“Seperti yang telah diumumkan, tempahan ini hanya dibuka kepada warga emas (60 tahun ke atas) di lima negeri, iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Ini adalah salah satu langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut CITF, mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my esok mulai pukul 12 tengah hari.

Pada masa yang sama, CITF mengalakkan orang muda untuk membantu warga emas untuk membuat tempahan ini untuk memudahkan urusan mereka. 

“Mereka yang telah mendaftarkan nama di bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot 2 Mei lalu akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini, ” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: