Isnin, 31 Mei 2021

Tuan rumah majlis kenduri nikah dikompaun

Oleh NUR ANATI JUHARI

PADANG TERAP:  Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dikompaun RM4,000 kerana mengadakan kenduri selepas majlis akad nikah di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, pemeriksaan ke atas rumah keluarga pengantin perempuan tersebut dilakukan pasukan pemantau Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap kira-kira pukul 2 petang ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati tuan rumah berkenaan mengadakan kenduri selepas majlis akad nikah yang dihadiri 15 tetamu.

“Tindakan lelaki terbabit mengadakan kenduri melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini, hari ini.

Katanya, kompaun sebanyak RM4,000 dikenakan kepada tuan rumah mengikut Seksyen 22(b) Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Perkara 15 Peraturan Pencegahan Dan Penyakit Berjangkit 2021.

“Lelaki itu perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pejabat Kesihatan Daerah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: