KUALA LUMPUR: “Saya sudah serahkan segala maklumat kepada Wisma Putra.”
Itu kata pelakon dan pengacara popular, Iesya Toh, ketika dihubungi bagi mengulas kerjasama yang diberikan kepada Wisma Putra berhubung maklumat ‘Dr. Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel seperti mana dikongsi di Instagram miliknya, baru-baru ini.
Bagaimanapun bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) itu menjelaskan, tiada kenyataan penuh dapat dikongsi buat masa ini, namun segala keputusan selepas ini adalah di antara pihak Wisma Putra dan petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL), Prof. Dr Aida.
“Prof. Dr. Aida pun sudah hubungi Wisma Putra, saya dan Heliza hanya bantu salurkan informasi sahaja.
“Saya mula-mula dapat tahu daripada Dr. Syafiq dan dia meminta bantuan untuk mewar-warkan perkara ini. Dr. Nur mengikuti misi kemanusiaan di Palestin telah ditahan Zionis semasa memasuki sempadan kem.
“Bila terima kiriman mesej itu, saya selidik dan hubungi pihak HKL bagi mendapatkan pengesahan dan kepastian berhubung maklumat berkenaan. Selepas disahkan ketua jabatan, Aida, saya terus salurkan maklumat kepada Datuk Seri Hishamuddin menerusi kiriman WhatsApp,” kata Iesya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan lanjut, Iesya berkata, difahamkan Dr. Nur sudah menghubungi Aida dan bebas daripada tahanan Israel.
“Selepas dua hari, Dr. Nur ada berhubung terus dengan Aida. Khabarnya dia dalam keadaan trauma dan berharap dapat pulang dengan selamat ke kampung halaman di Kelantan, sekali gus menjenguk pusara arwah bapa yang diberitakan baru saja meninggal dunia,” ujarnya.
Ditanya adakah Iesya sendiri pernah berhubung secara langsung dengan
Dr. Nur, katanya tidak dan berharap Dr Nur boleh menghubunginya supaya
dapat berkongsi dan menceritakan perjalanan serta pengorbanan yang
dilakukan di sana. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan