PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik lagi dengan 749 individu ditahan berbanding 617 individu yang diberkas kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 729 individu dikompaun, 18 direman dan dua dijamin hasil pemantauan 69,542 pemeriksaan anggota Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi kali ini masih lagi sebab tidak memakai pelitup muka iaitu 180 kes diikuti gagal menjaga jarak fizikal dengan 138 kes, disusuli tidak merekod butiran diri di premis (120), membawa penumpang secara berlebihan dalam kenderaan (55) dan lain-lain (122).
“Sebanyak 158 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 786 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua dikuarantin dengan sejumlah 8,323 individu masih lagi menjalani proses itu termasuk 2,236 individu dibawa ke hospital, manakala 203,567 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan