Jumaat, 28 Mei 2021

Lebih 1,000 kanak-kanak bawah 12 tahun positif Covid-19 di Kelantan

FMT Reporters
Exco Kelantan, Izani Husin meminta orang ramai mematuhi SOP dan tidak 
membawa anak ke tempat awam.

PETALING JAYA: Exco Kelantan, Izani Husin berkata, seramai 1,078 atau 18% daripada 5,921 pesakit Covid-19 di negeri itu terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan itu berkata, perkembangan itu membimbangkan dengan antara daerah mencatatkan kes banyak ialah Kota Bharu dengan 517 kes, diikuti Pasir Mas (132) serta Tumpat (120).

“Orang ramai diminta mematuhi SOP dan tidak membawa anak ke tempat awam. Kita juga menasihati ibu bapa yang pulang ke rumah selepas berurusan di luar supaya membersihkan diri sebelum menyentuh atau berinteraksi dengan anak mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selasa lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi membimbangkan kerana mereka antara golongan berisiko dijangkiti virus itu selepas warga emas.

Dalam pada itu, Izani menerusi Facebook berkata, Kelantan merekodkan 754 kes baharu hari ini, menjadikan keseluruhan 24,723 kes dengan empat kluster baharu.

Tiada ulasan: