PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengerahkan lebih 70,000 anggota penguat kuasa di bawah kementerian itu, termasuk 50,000 anggota dan pegawai polis bagi memperketatkan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun ini.
Menterinya Hamzah Zainudin berkata, ketika ini seramai 37,000 anggota dan pegawai polis dikerah untuk melaksanakan pemantauan dan pematuhan SOP di seluruh negara.
Berikutan itu, KDN akan menambah lagi kekuatan anggota dan pegawai polis menjadikan jumlah keseluruhan 55,000 orang bagi memperketatkan penguatkuasaan SOP kelak.
“Untuk menjadikan keseluruhan 70,000 anggota penguatkuasa kita akan mengerahkan kakitangan dari agensi KDN lain.
“Ini termasuk Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penjara bagi memastikan kita melakukan operasi pematuhan dan penguatkuasaan PKP penuh.
“Jika selepas dua minggu kita merasakan jumlah itu tidak mencukupi kita akan kerah lebih ramai kakitangan agensi di bawah KDN, termasuk dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agensi di bawah KDN di Putrajaya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata KDN melalui polis juga akan meningkatkan bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 berbanding hampir 600 sekarang.
Beliau berkata, pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan
oleh pasukan pemantauan pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan
agensi kerajaan berkaitan seperti MITI, Kementerian Sumber Manusia,
Kementerian Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan
pematuhan SOP dalam kalangan semua sektor sosial dan ekonomi.
“Anggota pasukan pemantauan pematuhan SOP akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang berbanding 13,795 orang ketika ini.
“Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.
“Selain OP Benteng, APMM dan pasukan polis marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan, terutama di ‘laluan panas’ yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram,” katanya.
Katanya, Jabatan Imigresen bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan penempatan warga asing di seluruh negara.
Beliau berkata, semua warga asing tanpa dokumen ditahan akan ditempatkan di depoh tahanan dan penjara satelit yang dibina oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara di seluruh negara ketika ini.
“KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini.
“Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan jabatan di bawahnya berhubung pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini.
Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan yang sudahpun beroperasi
ketika ini, manakala Bilik Gerakan KDN akan beroperasi 24 jam bermula 1
Jun 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan