SEREMBAN: Kertas siasatan berkenaan isu pergerakan rentas negeri yang melibatkan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail ke Nilai 3, Nilai pada 2 Mei lalu telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, perkara itu telah dirujuk pada pukul 2.30 petang semalam bagi mendapatkan keputusan berkaitan mengenai perkara itu.
“Berhubung isu pergerakan rentas negeri ke Nilai, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada 21 Mei 2021 pukul 2.30 petang untuk keputusan berkaitan dengan perkara itu, selaras dengan Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19 dan tidak mensensasikan fakta atau isu berkenaan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu mengenai pergerakan rentas negeri Nor Neelofa dan Muhammad Haris ke Nilai 3, Nilai dekat sini menimbulkan persoalan daripada netizen dan masyarakat apabila tiada pertuduhan mengenainya oleh mahkamah terhadap pasangan tersebut.
Sebaliknya, pertuduhan ke atas Noor Neelofa adalah atas kesalahan kegagalan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual.
Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu bagi pertuduhan pertama atas kesalahan yang sama dengan Neelofa iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Haris didakwa kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebagaimana ditetapkan dalam SOP PKPB.
Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kelmarin bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah.
Mahkamah kemudian menetapkan Noor Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 manakala Muhammad Haris RM10,000 atas dua pertuduhan ke atasnya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan