Ahad, 30 Mei 2021

Ada penyamar Fara Fauzana dalam FB

Oleh HANISAH SELAMAT

FARA FAUZANA

PETALING JAYA – Personaliti radio terkenal, Fara Fauzana memberi peringatan kepada pengendali Facebook (FB) yang menggunakan namanya agar segera menutup akaun berkenaan supaya tidak timbul kekeliruan.

Katanya, perkongsian berita tidak sahih dan kurang manis menerusi akaun terbabit boleh membuatkan masyarakat percaya sedangkan perbuatan tersebut dilakukan indvidu yang menyamar sebagai dirinya.

“Saya dimaklumkan mengenai kewujudan akaun FB di bawah nama Fara Fauzana ini sejak tahun lepas daripada mesej langsung (DM) kenalan maya selain rakan-rakan.

“Ketika itu ‘content’ disajikan berkaitan cerita dalam kelambu yang tentu saja menyebabkan ada pengikut akaun itu tertanya-tanya betulkah itu Fara Fauzana?

“Bila saya DM (mesej), memang tiada balasan. Jadi saya lapor kepada FB untuk menutup akaun ini disebabkan bimbang banyak paparan isi kandungan sudah dikongsi pengikutnya.

“Saya perlu bertindak kerana akaun itu terus aktif dengan memuatkan pula berita provokasi selain menyiarkan kisah artis yang diambil daripada sumber lain,” katanya kepada Kosmo!

Terdahulu, Fara yang selesa dipanggil Fafau itu meminta bantuan pengikut laman sosialnya mencari pengendali akaun FB palsu menggunakan namanya yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.

Fara yang masih aktif dalam dunia penyiaran menerusi radio online dikenali sebagai dbilique bersama Faizal Ismail dan Tini berharap orang ramai membantunya, melaporkan akaun berkenaan kepada FB.

Kata wanita yang giat melaksanakan kerja kebajikan itu, dia belum sampai peringkat mahu membuat laporan polis kerana masih punya rasa kasihan kepada individu berkenaan.

“Saya tahu ada beberapa lagi akaun menggunakan nama saya tetapi saya hanya husnuzon. Mungkin mereka itu adalah peminat yang suka mengikuti perkembangan saya.

“Cuma berbeza sedikit dengan pengendali akaun FB Fara Fauzana ini, kerana selain buat hantaran berita, dia juga ambil gambar saya dari dalam Instagram dan kongsi pula menerusi  FB berkenaan.

“Saya tak tahu tujuannya tetapi hentikanlah. Hentikan semua ini. Tidak perlu menyamar jadi Fara Fauzana. Kalau betul mahu menjadi admin media sosial saya atau ingin bekerjasama, mari datang bincang,” katanya lagi yang hanya menggunakan nama Realfafau untuk akaun FB rasmi. – K! ONLINE

Tiada ulasan: