PETALING JAYA: Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus kesal dengan tindakan melanggar SOP ketika sambutan Hari Raya yang menyebabkan lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.
Beliau meminta orang ramai mematuhi penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” selama dua minggu mulai 1 Jun ini.
Katanya, Hulu Terengganu, daerah terakhir di negeri itu yang dikategorikan zon hijau setakat 15 Mei lalu, kini bertukar merah dalam sekelip mata akibat pelanggaran SOP dengan merentas negeri dan melakukan ziarah raya untuk menyambut Aidilfitri.
Menerusi catatan di Facebook, beliau menceritakan kisah kluster dan penularan akibat ketidakpatuhan terhadap SOP.
Satu daripada kes itu membabitkan seorang individu yang pulang dari Johor ke Terengganu dua hari sebelum raya.
Akhirnya 24 ahli keluarganya dijangkiti Covid-19, dengan tambahan empat pekerja di sebuah pasar turut positif virus itu yang dikaitkan dengan tindakan individu terbabit.
“Kluster sebuah taman perumahan. Balik beraya di Bentong dan tergamak balik beraya pula dengan jiran-jiran. Akhirnya enam disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang.”
Katanya, kluster terbaru di Mukim Hulu Telemong dikaitkan dengan aktiviti Hari Raya yang membabitkan seorang individu pulang dari Melaka dan menjangkiti 10 pekerja di pejabatnya, dengan pengesanan kontak rapat masih dijalankan.
Nor Azimi turut mengimbau kisah 14 ahli keluarga di Mukim Tanggol yang menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga di daerah Marang dan menyebabkan kesemuanya disahkan positif Covid-19.
“Akhirnya, ia menular ke masjid pula bila seorang bilal dan jemaah disahkan positif. Berapa ramai jemaah dan ahli keluarga jemaah terdedah? Bayangkan.
“Kita terang-terang bagi nasihat tangguh rentas negeri, tangguh semua majlis raya atau ziarah raya. Nak elak perkara ini, tapi kalian berterusan melanggar SOP. Mungkin kalian fikir kalian kebal dengan jangkitan Covid-19.
“Sekarang, musibah telah berlaku angkara tangan sendiri, bukan tangan orang lain. Tak perlu tuding jari kepada sesiapa.
“Hakikatnya kita yang salah. Akhirnya, kita nangis sama-sama melihat angka kematian meningkat setiap hari merentas sempadan umur. Jangan sampai katil ICU di Terengganu sudah tidak berbaki.”
Beliau berkata, Hulu Terengganu tidak boleh dianggap daerah selamat lagi kerana Mukim Kuala Berang turut mempunyai kluster.
“Mukim Hulu Telemong dan Mukim Tanggol sudah dilanda badai Covid-19. Jika pelanggaran SOP berterusan, maka bersedia rakyat Hulu Terengganu menghadapi kluster lebih besar.”
Nor Azimi menyifatkan pengumuman “lockdown” mulai 1 Jun ini “melegakan” dan berharap tindakan itu serta kawalan kendiri mampu memutuskan rantaian jangkitan dengan cepat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan