Jumaat, 28 Mei 2021

Ibu bapa kanak-kanak tular panjat beranda diberi amaran

Oleh MOHD HUSNi MOHD NOOR
TANGKAP layar video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang berjalan dan bermain-main di luar beranda sebuah pangsapuri di sebuah kuarters penjawat awam, di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Ibu bapa seorang kanak-kanak lelaki yang videonya tular kerana memanjat beranda di sebuah kuarters penjawat awam di sini telah diberi amaran oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, ibu bapa kanak-kanak itu diberi amaran agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya kejadian tidak berulang lagi pada masa depan.

Beliau berkata, Ketua Balai Polis Presint 7 bersama dua pegawai JKM telah mengunjungi rumah kanak-kanak itu petang tadi.

“Pegawai JKM juga telah mengambil butir-butir peribadi ibu bapa kanak-kanak tersebut dan 
menasihatkan agar kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka sentiasa dijaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan, pasangan suami isteri itu mempunyai enam orang anak manakala, kanak-kanak yang tular itu adalah anak keempat.

Mohd. Fadzil berkata, ibu kanak-kanak itu seorang penjawat awam manakala bapanya adalah seorang pesara tentera.

Terdahulu tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang berjalan dan bermain-main di luar beranda sebuah pangsapuri di sebuah kuarters penjawat awam, di sini.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan kanak-kanak itu memanjat pagar beranda dan berjalan di sepanjang kaki lima beranda itu sebelum menjenguk beranda di sebelah rumah jirannya.

Berdasarkan rakaman video itu, kanak-kanak berkenaan seperti sudah biasa memanjat pagar beranda berkenaan dan melakukan aksi ngeri itu. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: