Ahad, 30 Mei 2021

Pesawat milik Israel disahkan masuk ruang udara negara

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
MODEL pesawat pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO dibangunkan Israel Aerospace Industries yang dikatakan terbang di ruang udara Malaysia minggu lalu. - Gambar media sosial

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengesahkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel disahkan memasuki ruang udara Malaysia baru-baru ini.

MOT bagaimanapun berkata, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.

Menjelaskan perkara itu, MOT berkata, pesawat awam itu melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), di mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.

“Sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan daripada melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

“Ditegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MOT berkata, pihak berkuasa penerbangan Malaysia juga telah mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura.

Katanya, pesawat awam tersebut berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada 19 Mei lalu kira-kira pukul 2.55  pagi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa sebuah pesawat perisik milik Israel dikesan berlegar di ruang udara Malaysia kira-kira empat jam sebelum mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Singapura.

Mengikut laporan Jurnal Defense Security Asia, pesawat itu adalah jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv.

Tiada ulasan: