KOTA BHARU: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita diserang bekas suami dengan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta yang dipandu mangsa, malam tadi.
Tindakan itu dilakukan pada jam 7.30 malam apabila mangsa yang berusia sekitar 30-an sedang memandu kereta Kia Rio bersama tiga anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun di Kampung Tapang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata dalam perjalanan pulang ke rumah, wanita itu menyedari keretanya diekori kenderaan bekas suaminya.
Beliau berkata, tidak lama kemudian, mangsa terdengar seakan bunyi tembakan yang menyebabkan cermin bahagian kanan belakang kenderaannya pecah namun tidak nampak sebarang senjata yang digunakan.
"Bagaimanapun wanita itu dan tiga anaknya tidak cedera.
"Siasatan pihak polis dan Unit Forensik mengesahkan terdapat satu kesan berlubang dan retak pada cermin kereta mangsa.
"Kami tidak boleh membuat pengesahan kesan itu daripada senjata api atau apa-apa senjata kerana orang ramai sekitar tempat kejadian tidak mendengar bunyi tembakan namun siasatan lanjut akan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Susulan itu, katanya, seorang lelaki dipercayai bekas suami mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kira-kira jam 7 pagi tadi.
Wan Khairuddin berkata, perintah reman akan dimohon terhadap suspek berusia 30-an itu bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Kita percaya kejadian bermotifkan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan cubaan bunuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan