Ahad, 30 Mei 2021

14 rumah di Mersing dilanda ribut

 Oleh MASTURAH SURADI

Keadaan rumah salah sebuah keluarga yang rosak dipukul ribut dan hujan lebat dalam kejadian di daerah Mersing, Johor, petang hari ini.

MERSING – Sebanyak 14 buah rumah di tiga penempatan daerah ini rosak selepas dilanda ribut ekoran hujan lebat selama satu jam petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, Nur Najibah Abdullah berkata, hujan bermula kira-kira pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang itu menyebabkan berlaku kerosakan di Taman Rumah Murah Endau, Kampung Semaloi dan Tanjung Resang.

“Pihak APM menerima laporan kejadian ribut itu pada pukul 3 petang melibatkan 14 rumah di tiga kawasan.

“Taman Rumah Murah Endau sebanyak 10 buah rumah terjejas, Kampung Semaloi tiga buah rumah dan Tanjung Resang sebuah rumah.

“Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 59 orang namun tiada pusat pemindahan yang dibuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kerosakan akibat ribut itu kebanyakannya melibatkan atap asbestos, atap kilang dan zink, kekuda aluminium dan kayu.

Jelasnya, tiada kemalangan jiwa direkodkan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.-K! ONLINE

Tiada ulasan: