KUALA TERENGGANU: Tauliah pendakwah dan penceramah yang menyampaikan kuliah bertentangan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak COVID-19 akan ditarik balik serta merta.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, berkata penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melakukan pemantauan di semua masjid dan surau di negeri ini.
Katanya, jika terbukti terdapat pendakwah dan penceramah menyampaikan pengajaran terutama menghasut jemaah tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19, bukan sahaja tauliah akan ditarik balik, malah berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Jawatankuasa masjid serta surau juga akan dikenakan tindakan kerana membenarkan penceramah dan pendakwah menyampaikan kuliah bertentangan dengan dasar kerajaan, terutama berkaitan dengan suntikan vaksin COVID-19.
"Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah mengeluarkan titah menyeru seluruh rakyat untuk segera mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, Rabu lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Osman berkata, kesungguhan MAIDAM dan JHEAT dalam usaha membantu kerajaan mengalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaksin terbukti, apabila kempen kesedaran kepentingan pengambilan vaksin dilaksanakan melalui khutbah Jumaat di semua masjid negeri ini, bermula Jumaat lalu.
Katanya, setakat ini semua penceramah dan pendakwah bertauliah turut memainkan peranan berkempen supaya jemaah mendaftarkan diri untuk.pengambilan vaksin.
"Tetapi kita akan terus melakukan pemantauan dan pegawai serta anggota penguat kuasa JHEAT sudah diminta mengambil tindakan serta merta ke atas pendakwah dan penceramah yang menghasut rakyat untuk tidak mengambil suntikan vaksin ketika sesi pengajaran dan kuliah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan