Ahad, 23 Mei 2021

16 lokaliti Sabah, Sarawak, Pahang dikenakan PKPD

Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Sebanyak 16 lokaliti di Sabah, Sarawak dan Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari bermula lusa susulan peningkatan kes Covid-19 yang amat ketara dalam masa singkat di lokaliti berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga lokaliti terletak di Sabah iaitu Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill, Daerah Kalabakan, Bahagian Tawau serta Kampung Melikai di Daerah Kuala Penyu, Bahagian Pedalaman.

“Turut dikenakan PKPD untuk tempoh sama sehingga 6 Jun depan ialah empat taman perumahan dan sebuah perkampungan di Gau, Daerah Temerloh, Pahang iaitu Taman Gau Indah, Taman Gau Makmur, Taman Gau Aman, Taman Gau Idaman dan Kampung Gau Baru apabila 16 kes positif telah pun direkodkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tidak ketinggalan dikenakan PKPD di Pahang, ialah tujuh mukim dalam Daerah Kuantan susulan sejumlah 619 penduduk dilaporkan ada wabak maut berkenaan.

Mukim terbabit ialah Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar apabila berlaku peningkatan kes ketara hanya dalam tempoh 10 hari.

Ismail Sabri juga memaklumkan, PKPD turut dilaksanakan di Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau, Bahagian Mukah, Sarawak ekoran 79 penduduk disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Daerah Kuantan, Pahang yang sepatutnya berakhir pada Selasa ini, akan ditamatkan lebih awal esok termasuk di Rumah Panjang Jali dan Rumah Panjang Lanyau, Bukit Dinding-Begerik, Bahagian Mukah, Sarawak seperti dijadualkan. – UTUSAN

Tiada ulasan: