Ahad, 30 Mei 2021

Penglihatan merosot, bekas pemandu teksi buntu teruskan hidup

Ahmad Mustakim Zulkifli

Mohd Kamil Affendy Hashim sedang mencari kerja baru, namun sukar untuk dia dapatkan kerja walaupun sebagai pengawal keselamatan.

Satu pagi, seorang pemandu teksi Mohd Kamil Affendy Hashim bangun tidur dan terus memakai cermin matanya dan cuba membaca mesej yang masuk di telefon bimbit pada malam sebelumnya.

Malangnya, dia mendapati tidak ada huruf yang boleh dibacanya dari skrin itu.

Kebingungan, dia memerhati keadaan sekelilingnya, namun dia menyedari seluruh bilik itu kabur daripada penglihatannya.

Dalam kebingungan atas apa yang terjadi pada dirinya, dia melakukan pemeriksaan di klinik dan memberitahu doktor penglihatannya yang kabur itu mungkin disebabkan penyakit diabetes yang dihidapinya.

“Saya pergi klinik kesihatan. Saya rasa mata rosak sebab kencing manis. Doktor cakap ini bukan mata rosak, ini sebab awak punya spek ni. You baru dapat kencing manis takkan boleh efek punya.”

Bagi memastikan apa yang dikatakan doktor, dan kemungkinan ada kebenaran isunya berpunca daripada cermin mata, dia pun membawa cermin mata itu ke kedai untuk diperiksa.

Namun, selepas diperiksa pun, penglihatannya tetap kabur.

Seorang lagi doktor memeriksa beliau dan berkata dia menghidap Conjunctivitis.

Selepas itu, dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut. Di sana, dia dimasukkan ke wad dan turut disaring bagi Covid-19.

Akhirnya, keputusan mengenai penyakitnya keluar: bilateral optic neuritis, satu penyakit yang berlaku akibat daripada saraf optik yang rosak akibat bengkak.

Keputusan itu betul-betul mengejutkan Kamil yang sudah 13 tahun mencari rezeki sebagai pemandu teksi.

Pada awalnya, dia cuba untuk terus memandu teksi seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas beberapa percubaan menyebabkan dia hampir terlibat kemalangan, Kamil terpaksa menerima hakikat dia tidak lagi mampu untuk bekerja sebagai pemandu teksi.

Beberapa usaha mencari kerja lain turut menemui kegagalan.

Dia mencuba nasib untuk menjadi atendan stesen minyak dan pekerja hotel, namun semua permohonannya tidak diterima.

“Kawan-kawan ada kata pergi apply kerja ‘security guard’,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lepas tu dia orang cakap takpa kita tipu je rekod kesihatan tu, cakap mata kau okey. Saya cakap janganlah macam tu. Tak pasal pula. Saya tak nak buat.”

Antara kerja yang dipohonnya adalah sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah hotel di Chow Kit.

Namun bekerja pada waktu malam menyebabkan dia perlu menaiki teksi atau Grab untuk pulang ke rumahnya di Gombak.

Apabila difikirkan, ia akan memakan kos yang mahal. Kira-kira yang dilakukan beliau, tambang sahaja sudah sama dengan separuh gaji hariannya.

Bahkan sebelum penglihatannya mulai merosot, kehidupannya hariannya sangat mencabar akibat krisis Covid-19.

Kamil tak dapat membawa ramai penumpang seperti sebelum pandemik.

Katanya, dengan RM20 hingga RM30 pun sudah cukup untuk membuat dia bersyukur.

Walaupun demikian, dia cuba guna teksinya untuk membuat penghantaran barangan seperti barangan keperluan rumah dan bungkusan bagi pelanggan tetapnya.

Mohd Kamil Affendy Hashim, 39, melihat telefon bimbitnya 
dengan jarak yang dekat selepas beliau mengalami penyakit 
keradangan mata di kedua-dua belah di Taman Bunga Raya, 
Setapak.

Menurutnya, ironi menyedihkan yang sempat dialami ialah beberapa tahun lalu, dia membuat hantaran ke media sosial menawarkan penumpang buta untuk perjalanan ke tempat yang mereka perlu pergi.

Sudah tiga bulan Kamil tidak membawa teksinya.

Ketika ini, keperluan hariannya masih dapat dipenuhi dengan bantuan yang diterima bersama ibunya daripada Jabatan Kebajikan.

“Kad OKU yang first dapat tahun lepas untuk sakit mental, bipolar disorder,” katanya.

“Bantuan kewangan membantu, tapi saya berkeras nak cari kerja sebab tak boleh bergantung dengan duit jabatan kebajikan saja.”

Bagi menyelesaikan masalah matanya, Kamil perlu menjalani pembedahan penggantian plasma.

“Dia nak buat lima kali sesi,” katanya.

“Satu tiub seribu. Sekali operation RM1,000, jadi lima kali, jumlahnya RM5,000.”

Doktornya memberitahu ada peruntukan dana untuk bantu mereka yang perlukan pembedahan tersebut.

“Tapi chances tu 50-50. Dia kata boleh ada jangkitan kuman, darah boleh tersumbat, boleh sebabkan kematian.”

Walau terpaksa menghadapi ujian tersebut, Kamil cuma melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan norma barunya, namun ia ternyata sukar.

“Waktu register Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Dia orang ada offer pergi program. Pergi ke Ipoh enam bulan, tapi bila fikir balik, satu siapa nak bayar sewa rumah.

“Lepas tu untuk check up mata perlu di HKL. Kalau duduk di Ipoh sukar hendak berulang, jadi saya terpaksa lepaskan.”

Tiada ulasan: