Ahad, 30 Mei 2021

Kanak-kanak tiga tahun maut dalam kebakaran

 Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Telok Pelanduk, Port Dickson pagi tadi yang mengorbankan seorang m kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai sesak nafas dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telok Pelandok di sini pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.51 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian. 

“Apabila sampai pihak bomba mendapati kebakaran sudah mencapai 80 peratus dan kami cuba memadamkan api berkenaan pada masa yang sama turut menjalankan penyelamatan mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

“Bagaimanapun, selepas masuk ke bilik kedua iaitu di ruang tengah kami menjumpai seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sudah meninggal dunia dalam timbunan pakaian di tepi sebuah katil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Tambah  beliau, pihak bomba dimaklumkan terdapat seramai enam orang berada di dalam rumah berkenaan ketika kejadian.

” Namun hanya lima mangsa sahaja selamat dan tidak mengalami kecederaan. Kebakaran tersebut telah melibatkan 90 peratus rumah yang diperbuat daripada batu itu, “ katanya. 

Menurut Mohd. Kamal, seramai 16 orang anggota terlibat dari Balai Bomba Telok Kemang dan balai bomba bantuan dari Balai Bomba Port Dickson yang  melibatkan lapan orang anggota. 

“Punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak bomba menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: