Ahad, 30 Mei 2021

Jasa, sumbangan Harussani tidak ternilai harga

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan jasa dan sumbangan Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dalam memperjuang dan mengembangkan syiar Islam adalah tidak ternilai harganya.

Menurut Muhyiddin, pemergian Allahyarham Mufti Perak itu merupakan satu kehilangan kepada dunia dakwah bukan sahaja buat negeri Perak tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Jelas Perdana Menteri, selain menjadi Mufti Perak, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang pendakwah dan agamawan yang mudah didekati dan disegani oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Saya dan keluarga ingin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh agama yang amat disegani, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang baru sahaja meninggal dunia. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Sama-samalah kita doakan semoga roh Allahyarham yang sepanjang hidupnya mengabdikan diri untuk memperkasakan Islam ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harussani, 82, yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh meninggal dunia hari ini pada pukul 2.45 petang.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia. UTUSAN

Tiada ulasan: