Sabtu, 29 Mei 2021

Mengapa duduk rumah dapat pahala?

 Dr Ahmad Sanusi Azmi

Enggan patuh arahan, keluar sesuka hati boleh gagalkan rancangan kerajaan kawal wabak

KES jangkitan wabak COVID-19 telah semakin meningkat di negara ini. Marilah kita sama-sama amalkan langkah pencegahan dengan melakukan kuarantin kendiri bagi memutuskan rantaian penyebaran penyakit.

2. Rasullulah ﷺ pernah menjelaskan kepada kita bahawa kepatuhan muslim kepada setiap langkah yang digariskan dalam mendepani suasana kesukaran sebegini akan menyebabkan mereka memperoleh ganjaran yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah ﷺ:

ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ
“Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak Ta’un ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh Allah, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid.” (HR al-Bukhari) 

(Dapatkan juga huraian 40 Hadis tentang Wabak Penyakit secara PERCUMA di laman ini: https://drsanusiazmi.com/buku-40-hadis-tentang-wabak…/)

2. Ketika menghuraikan hadis ini al-Imam Ibnu Hajar didalam karyanya Fathul Bari menjelaskan bahawa:

اقتضى منطوقه أن من اتصف بالصفات المذكورة يحصل له أجر الشهيد وإن لم يمت
“Ungkapan Nabi tersebut memberi makna bahawa sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan itu, dia akan memperolehi ganjaran syahid walaupun dia tidak mati (kerana wabak tersebut).” (Fath al-Bari)

3. Dalam erti kata yang lain hadith ini menekankan aspek disiplin seorang muslim dalam menghadapi suasana wabak. Muslim seharusnya mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan dari Allah, mereka seharusnya mampu mengawal diri mereka di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa mereka serta meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan Allah.

4. Dalam al-Quran pula, Allah memuji tindakan muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain. Mereka yang berusaha menyelamatkan nyawa seseorang itu seumpama dia telah menyelamatkan nyawa seluruh manusia. (Surah al-Maidah: 32)

5. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Mujahid menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini. Kata beliau:

أي: أنجاها من غرق أو حرق أو هلكة
“(Yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas, atau dibakar, atau apa-apa kebinasaan.” (Tafsir Ibn Kathir) Huraian oleh al-Imam Mujahid ini membayangkan betapa segala usaha yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

6. Tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan sahaja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain. Dalam sebuah hadis Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa:

مَنْ ضَارَّ ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ
“Barangsiapa yang memudaratkan orang lain, maka Allah akan mendedahkan mudarat padanya. Barangsiapa yang menyusahkan orang lain, Allah boleh menyusahkan urusannya.” (hadis riwayat al-Tirmizi) Hadis ini jelas menunjukkan betapa Allah tidak suka kepada hambanya yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.

7. Dengan itu mari bersama kita berusaha untuk mendisiplinkan diri mematuhi arahan pihak berkuasa. Kepatuhan kita menghayati serta mematuhi arahan ini mudah-mudahan dinilai sebagai amalan yang memberatkan neraca timbangan amal pahala kita di akhirat kelak.

Semoga Allah membimbing kita. ISMA WEB

(*) Dr Ahmad Sanusi Azmi, Universiti Sains Islam Malaysia

Tiada ulasan: