Jumaat, 28 Mei 2021

Bekalan darah di Kedah hanya bertahan tiga hari sahaja

HARAKAH DAILY

PENDANG: Rakyat Kedah dialu-alukan tampil menderma darah berikutan bekalannya sekarang berada pada tahap kritikal dan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga hari sahaja.

Menurut Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, pihak hospital memerlukan bekalan darah terutama untuk pembedahan, masalah ketumpahan darah selepas bersalin, kanser dan pesakit thailasemia.

“Saya berharap pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kelonggaran individu yang ingin ke pusat transfusi terdekat untuk menderma darah,” katanya di sini.

Semalam media tempatan melaporkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berlaku penurunan secara drastik bekalan darah di Kedah sehingga mencecah 50 peratus.

Ketua Perkhidmatan Transfusi Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir dilapor berkata, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Alor Setar (JPTHAS) yang bertindak sebagai pusat darah bagi Kedah dan Perlis secara purata memerlukan 150 beg darah setiap hari untuk menampung keperluan pesakit.

“Jumlah itu masih diperlukan walaupun dalam tempoh pelaksanaan PKP. Sebelum PKP, ‘kutipan’ darah adalah antara 150 hingga 200 beg sehari, tetapi sekarang kutipan jatuh kepada 75 hingga 100 beg sehari,” katanya.

Difahamkan hospital di Kedah setakat ini masih mempunyai stok darah, namun dianggar mampu bertahan untuk tempoh tiga hingga lima hari dan memerlukan bekalan darah dari JPTHAS.

Dr Siti Nadiah juga berkata JPTHAS turut bertanggungjawab mengumpul, memproses serta menyaring bekalan darah bagi Perlis.

Kata beliau penurunan kadar pengumpulan darah sehingga 50 peratus juga berlaku di Perlis. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: