PETALING JAYA: Padah potong gelang kuarantin berwarna merah jambu untuk pergi ke rumah kawan, seorang remaja dikenakan kompaun berjumlah RM5,000 dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, AA. Anbalagan berkata, pihaknya menahan pelajar tingkatan empat pukul 2.50 pagi selepas dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati remaja yang masih bersekolah itu dalam perjalanan ke rumah rakannya.
“Lelaki berusia 16 tahun itu mengaku tinggal di rumah rakannya dan hasil pemeriksaan mendapati gelang kuarantin berwarna merah jambu miliknya dipotong serta disimpan dalam beg sandang.
“Pihak polis telah keluarkan notis kompaun berjumlah RM5,000 ke atas lelaki itu susulan didapati ingkar arahan Subseksyen 22(b) Akta 343 iaitu individu di bawah pesakit bawah siasatan (PUI) enggan menjalankan kuarantin,” katanya dipetik daripada laporan Kosmo.
Terdahulu tular di media sosial hari ini apabila beberapa keping gambar remaja berkenaan sedang diperiksa anggota polis dimuat naik di laman sosial Facebook.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan