Kerajaan perlu fokus 5 negeri tercorot dalam pendaftaran vaksin di MySejahtera
BANGI – Tidak memadai jika usaha menangani peningkatan kadar jangkitan COVID-19 di negara ini, sekadar bergantung kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Justeru, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mencadangkan supaya Program Imunisasi COVID-19 melaksanakan pemberian vaksin secara ‘massa’, kerana menyifatkan kaedah itu sangat sesuai pada keadaan pandemik ketika ini.
Presiden I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob berkata, setakat hari ini, pendaftaran di aplikasi MySejahtera adalah 11,564,724 atau 36 peratus – penduduk Malaysia 32.75 juta – atau 45 peratus daripada sasaran iaitu 80 peratus.
Katanya, ini bermakna, hanya 1,809,412 orang yang telah menerima vaksin atau tujuh peratus daripada sasaran.
“Pihak kerajaan wajar fokus kepada lima negeri tercorot dalam pendaftaran vaksin melalui MySejahtera iaitu Sabah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kedah.
“Perlu kempen berterusan. Kelima-lima negeri tersebut berkepadatan dengan penduduk majoriti Melayu dan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Dr Azizi turut kesal dengan puluhan ribu orang yang tidak hadir janji temu vaksin, khususnya di negeri Kelantan, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan yang juga bermajoriti penduduk Melayu, Islam.
“Saya menyeru semua percayalah dengan ilmu sains perubatan berkenaan vaksin dan lihat dengan mata, berfikir dengan akal yang waras.
“Ilmu sains ini datangnya dari Allah SWT. Ya, virus COVID-19 ialah makhluk Allah. Oleh itu, terciptanya vaksin juga makhluk Allah dengan ikhtiar kita semua dengan izinNya,” katanya.
Beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ada segelintir pihak yang mahu mengamalkan makanan sunnah sebagai ikhtiar kepada wabak itu.
“Tetapi, menghalang dan tidak menyampaikan ilmu yang betul dan sebarkan kefahaman yang salah itu adalah ketidakadilan dan kezaliman kepada ilmu yang datangnya dari Allah SWT.
“End game ialah kita ingin kembali kepada fitrah kehidupan yang normal dan boleh bersosial serta berinteraksi dengan lebih baik. Nampaknya teori konspirasi dan Yahudi masih berlegar di kalangan golongan tertentu di negara kita.
“Sebaliknya,
kuasa besar Israel telah capai hamir 60 peratus penduduknya menerima
vaksin dan mereka di ambang ‘end game’… jangan kita orang Islam
tertinggal kapal dalam urusan menjaga kesihatan dan nyawa kita,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan