Isnin, 31 Mei 2021

Lelaki gelang merah jambu kena kompaun

Oleh NOR AINNA HAMZAH

Lelaki yang memakai gelang merah jambu itu ditahan hasil maklumat orang awam.

JEMPOL – Seorang lelaki yang masih memakai gelang merah jambu namun tidak mematuhi perintah kuarantin dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas dikesan mahu membeli barangan runcit di kedai berdekatan kediamannya di Taman ACBE Bahau, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 5 petang, pasukan petugas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menahan lelaki berkenaan di tepi jalan di Lorong 11 taman berkenaan setelah mendapat maklumat dari orang awam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan menaiki kenderaan dari rumahnya ke kedai runcit namun tidak jadi masuk ke dalam kedai berkenaan selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

“Lelaki tersebut diarahkan menjalani tempoh kuarantin sejak 28 Mei lalu dan dijangka berlanjutan sehingga 6 Jun ini. Bagaimanapun tindakan lelaki ini mahu pergi ke kedai menyalahi undang-undang serta tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Lelaki berkenaan telah dikompaun di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi. – K! ONLINE

Tiada ulasan: