HARAKAH DAILY
KOTA BHARU: Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
menganggap tindakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi merupakan
satu langkah bijak yang tidak dapat dielakkan dalam situasi pendemik
sekarang.
Yang di-Pertua, PUM Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul
Kadir berkata, kerajaan perlu memastikan tahap kesihatan rakyat mesti
diutamakan.
Ini juga katanya bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dari aspek Hifz al-Nafs iaitu menjaga jiwa manusia.
“Kita tahu bahawa Covid-19 adalah satu ancaman yang boleh membawa maut sekiranya tidak dikawal atau disekat,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi berikutan pelaksanaan total lockdown mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini dengan mengambil kira penularan wabak Covid semakin serius.
Syeikh Abdul Halim berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada rakyat terutama mereka yang bekerja sendiri atau bekerja dengan pihak swasta secara bergaji hari.
“Kami yakin bahawa pihak kerajaan mempunyai pelan bagi membantu mereka yang terkesan tersebut,” ujarnya.
Malah kata beliau agensi-agensi kerajaan dan agama mengumumkan pakej bantuan kepada mereka yang layak termasuk MAIWP yang begitu prihatin dengan memberi peruntukan RM38 juta bagi membantu penduduk yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.
Beliau juga berkata, PUM menyelar tindakan segelintir rakyat yang menggunakan media sosial untuk mengutuk pemimpin negara, termasuk terbaru mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Oleh itu PUM berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tesebut bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.
“Selain itu tindakan tegas juga perlu diambil kepada mana-mana individu yang mempermainkan atau mempersendakan setiap keputusan yang diambil pemimpin negara dalam menangani Covid-19,” katanya
Dalam pada itu, PUM turut meminta rakyat memberi perhatian serius terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dijalankan sekarang.
Sewajarnya kata beliau setiap individu mengambil peluang untuk mendaftarkan diri dengan program tersebut demi kemaslahatan semua pihak.
“PUM juga mencadangkan agar kerajaan memastikan sistem imunisasi dapat diselaraskan dalam aplikasi yang biasa digunakan iaitu MySejahtera.
“Ini penting agar rakyat tidak keliru dalam pendaftaran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 serta mampu dilaksanakan sebaik mungkin.
“PUM juga ingin mencadangkan agar golongan agamawan, imam dan pentadbir masjid diberikan peluang awal mendapatkan vaksin kerana mereka juga boleh membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan