Astro Awani
Gerhana
bulan penuh atau dipanggil Super Flower Blood Moon akan menyebabkan
Bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit. - Foto
Agensi Angkasa Malaysia
KUALA LUMPUR:
Fenomena gerhana bulan penuh atau 'bulan berdarah' dijangka dapat
disaksikan bermula sekitar jam 4.47 petang ini dan berakhir kira-kira
jam 9.50 malam.
Rakyat Malaysia di Sabah
dan Sarawak berpeluang menyaksikan fenomena tersebut ketika ia mencapai
fasa gerhana separa manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung,
fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum.
Menerusi
laman webnya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena gerhana
bulan penuh atau dipanggil Super Flower Blood Moon akan menyebabkan
Bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa
gerhana penuh.
Fenomena gerhana ini akan berlaku selepas beberapa jam Bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee).
Ia berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.
Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.
Bulan
dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada
kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.
Kemudahan
teleskop di Planetarium Negara tidak dibuka susulan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), namun orang ramai boleh menyaksikan penstriman
langsung di akaun media sosial Facebook dan YouTube Planetarium Negara.
Menurut
laman web Mufti Wilayah Persekutuan, arahan Nabi Muhammad ialah,
apabila melihat gerhana maka disunatkan untuk melakukan beberapa
perkara.
Antaranya termasuk menunaikan
solat sunat gerhana bulan (solat sunat khusuf), berzikir mengingati
Allah, berdoa dan beristighfar memohon keampunan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan