SEMUA sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh atau total lockdown mulai 1 hingga 14 Jun ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberikan kepada 12 sektor terpilih sahaja untuk terus beroperasi sewaktu tempoh berkenaan.
Menurut Ismail Sabri, sektor terlibat adalah aeroangkasa melibatkan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan serta kesihatan di samping barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.
Selain itu, kata beliau, jenis perkilangan lain yang dibenarkan merangkumi keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan; barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.
Beliau berkata, sektor-sektor lain adalah komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik; minyak dan gas; mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan; tekstil untuk pengeluaran PPE serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.
“Sektor perkilangan yang dibuka pun hanya dengan kapasiti bekerja setakat 60 peratus sahaja. Kita berharap semua akur dengan arahan diberikan kerajaan.
“Ini kerana saya baca dalam media sosial, walaupun kita dah tetapkan syarat 60 peratus pekerja tetapi ada aduan terdapat majikan yang memaksa bekerja melebihi jumlah tersebut.
“Saya harap perkara seperti ini tidak berlaku kepada sektor yang dibenarkan. Jika berlaku, kita harap pekerja tersebut membuat aduan. Saya minta pihak berkuasa ambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi turut dibenarkan beroperasi.
Kata beliau, ia termasuk rantaian bagi sektor tersebut seperti kedai menjual baja dan racun atau kilang memproses buah sawit.
Pada masa sama, beliau memberitahu, sektor pembinaan pula melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.
“Selain itu, kita juga benarkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama.
“Kerja-kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atua pekerja yang ditempatkan di kuarters pekerja berpusat juga dibenarkan,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan