Jumaat, 28 Mei 2021

Lelaki pakai topeng muka buatan sendiri

 Oleh NUR AMALINA AZMAN

SEORANG lelaki warga asing mengenakan topeng muka buatan sendiri di PPV di Kompleks Sukan LADA, Langkawi. - MEDIA SOSIAL

LANGKAWI: Seorang lelaki warga asing menarik perhatian ramai apabila mengenakan topeng muka buatan sendiri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi di sini, Selasa lalu.

Gambar lelaki terbabit yang dirakamkan individu lain tular dalam laman sosial Facebook, hari ini.

Dia dilihat memakai topeng menutup penuh muka di samping memakai pelitup separuh muka di atas alat tersebut.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr. Mansor Ismail mengesahkan kehadiran lelaki berkenaan sebagai penerima vaksin Covid-19, dua hari lalu.

Katanya, lelaki terbabit pada awalnya hanya mengenakan pelitup separuh muka.

“Bagaimanapun ketika berada di stesen pemerhatian, lelaki itu bertindak mengeluarkan alat tersebut daripada beg dan mengenakannya pada muka.

“Berdasarkan pengakuan yang diberikan kepada petugas kesihatan, lelaki itu memberitahu dia tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit berkaitan pernafasan,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit hadir untuk menerima vaksin setelah mendapat panggilan untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Beliau juga berkata, pihaknya tidak pasti apa tujuan lelaki itu berbuat demikian sehingga menarik perhatian ramai. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: