KUALA LUMPUR – Sekumpulan peniaga Pasar Borong Selayang hari ini membantah arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mereka berpindah ke bangunan baharu kerana mendakwa ruang perniagaan yang disediakan tidak strategik.
Pengerusi Persatuan Perniagaan Pasar Borong Borong Kecil Kuala Lumpur, Ho Ah Chai berkata, laluan untuk pelanggan keluar masuk di bangunan baharu itu sempit dan terhad.
Selain itu, menurut beliau, ruang antara peniaga yang dipisahkan dengan dinding yang tinggi juga menyukarkan proses pembersihan.
“Dengan dinding yang seperti itu, ia tinggi sukar untuk peniaga,” katanya ketika ketika sidang media di hadapan Pasar Borong Selayang hari ini.
Katanya, peniaga yang sepatutnya berpindah telah memaklumkan kepada pihak DBKL namun tidak ada respon setakat ini.
Menurut Ah Cai, lebih kurang 400 peniaga menerima arahan untuk berpindah di bangunan baharu Pasar Harian Selayang yang terletak bersebelahan bangunan lama pada 1 Jun ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang turut hadir ketika sidang media berkata, beberapa infrastruktur bangunan baharu yang bakal menempatkan para peniaga perlu dikemas kini.
Sebelum ini, menurutnya, peniaga telah mengadakan petisyen untuk mengemukakan bantahan terhadap infrastruktur binaan bangunan berkenaan.
Justeru beliau berharap DBKL dapat berbincang dengan para peniaga dan mencari jalan penyelesaian untuk kebaikan kedua-dua pihak.
“Mereka (peniaga) bantah pemindahan kerana ada beberapa keperluan yang perlu diikuti oleh DBKL, barulah mereka selesa untuk berpindah.
“Pasar Harian Selayang baharu memang cantik tetapi ada beberapa perkara mereka (peniaga) mahukan sebelum ini tidak ada ditunaikan
“Mereka tidak selesa ada dinding di kiri kanan tidak ada laluan selesa untuk pelanggan hanya ada satu laluan.
“Sekarang ini saya pun tidak tahu kenapa peniaga di sini diarahkan untuk berpindah dengan cepat. Itu saya keliru kalau peniaga tidak mahu pindah mereka ada alasan pastikan ada tempat yang sesuai supaya perniagaan mereka dapat sambutan,” katanya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan