Ahad, 30 Mei 2021

17 perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi mulai 1 Jun

SEBANYAK 17 jenis perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi mulai 1 Jun ini sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dikuatkuasakan sehingga 14 Jun depan.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi termasuk makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk veterinar; air dan tenaga.

Selain itu, kata Ismail Sabri, sektor perkhidmatan yang dibenarkan merangkumi keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan.

Pada masa sama, kata beliau, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal; pengangkutan; perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan; komunikasi serta perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal turut dibenarkan beroperasi.

“Perkhidmatan lain yang dibenarkan adalah kredit komuniti; e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

“Hotel dan penginapan juga dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan bagi tujuan pelancongan.

Baca artikel berkaitan: Total lockdown selama 14 harı mulai 1 Jun, pakej bantuan menyusul

“Perkhidmatan seterusnya termasuk pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; perkhidmatan perhutanan yang terhad kepada penguatkuasaan dan logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, secara umumnya kebanyakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada PKP 3.0 kali ini sama sewaktu PKP 1.0 tahun lalu.

Katanya, ia termasuk penutupan kompleks membeli-belah kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar yang mempunyai seksyen makanan dan minuman serta keperluan asas yang dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

“Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” jelas beliau.

Berikut merupakan senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi:

  1. Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
  2. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok
    diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan
    veterinar
  3. Air
  4. Tenaga
  5. Keselamatan (security and safety), pertahanan,
    kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
  6. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan
    pembetungan
  7. Pengangkutan melalui darat, air atau udara
  8. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan
    dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan,
    pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan
    pemaliman, dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
  9. Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan
    internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan
    penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya
    sahaja)
  10. Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
  11. Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
  12. E-dagang dan teknologi maklumat
  13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan
    serta pengagihan bahan api dan pelincir
  14. Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin,
    pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan
    bukan tujuan pelancongan)
  15. Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
  16. Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada
    penguatkuasaan) dan hidupan liar
  17. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu

Tiada ulasan: