Ahad, 30 Mei 2021

Katil ICU pesakit COVID-19 membimbangkan - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) termasuk yang disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan, merekodkan jumlah tertinggi sejak pandemik bermula tahun lalu dengan hampir 1,200 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis.

Tegasnya, keadaan itu amat membimbangkan terutama bagi petugas kesihatan dan pesakit bukan COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik.

Menurutnya, terkini, dalam tempoh tiga minggu bulan ini sebanyak 439 katil tambahan disediakan.

"Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 (disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan buat masa ini mencapai 1,114 katil," katanya dalam kenyataan di Facebooknya awal hari ini.

Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Dr Noor Hisham berkata, walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit COVID-19 ditambah, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100 peratus, sekali gus menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad biasa.

Beliau berkata, dengan pertambahan kes baharu harian yang mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.

"KKM akan terus mengenal pasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan.

"Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya.

"Namun, sumber tenaga manusia adalah antara cabaran utama dan ramai anggota kita telah pun dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik ini.

"Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit COVID-19," katanya.

Sehubungan itu Dr Noor Hisham terus mengingatkan orang ramai supaya kekal duduk di rumah.

Beliau berkata, jika mempunyai urusan penting di luar, pastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya diri dan ahli keluarga dilindungi.

"Kita jaga kita," katanya.

Malaysia semalam merekodkan seramai 98 pesakit COVID-19 meninggal dunia, jumlah tertinggi pernah dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 2,650 kes.

Bagi jangkitan baharu pula, sebanyak 9,020 kes dilaporkan semalam, sekali gus menjadi yang tertinggi, pernah dilaporkan sejak penularan virus berkenaan di negara ini.

Tiada ulasan: