Sabtu, 29 Mei 2021

PdPR tidak begitu berkesan, kerajaan perlu ubah pendekatan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
AMIN SENIN

PUTRAJAYA: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diberi penekanan sebagai pen­ting oleh Kementerian Pendidikan, bukan hanya memberi fokus kepada tempoh pelaksanaannya perlu disambung atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utu­san Malaysia, bekas Ke­tua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin melihat kaedah PdPR tidak begitu berkesan ketika ini berbanding pengajaran dan pembe­lajaran dilaksanakan da­lam sesi bersemuka di sekolah.

Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 itu berkata, satu anjakan paradigma kaedah pengajaran dan pembelajaran secara total perlu dibuat melalui pelbagai kaedah kreatif bagi me­rangsang minat pelajar, sekali gus memastikan keberkesanan pembelajaran.

Kata beliau, para pelajar tidak boleh memberikan fokus 100 peratus jika guru mengajar secara dalam talian dalam tempoh 30 minit hingga 40 minit mengikut jadual kelas biasa.

“Keberkesanan pengisian itu lebih penting dan bukannya soal memanjangkan tempoh pelaksanaan PdPR itu atau tidak, lebih-lebih lagi ia bergantung kepada situasi kes Covid-19 yang perlu diimbangkan kepenti­ngan kesihatan dan pendidikan,” katanya di sini semalam.

Menurut Amin, tempoh penyampaian melalui dalam talian perlu dipendekkan dengan menambah baik dan mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti membuat video pendek tidak melebihi 10 minit.

Beliau berkata, asas perkiraan adalah memastikan keupayaan murid belajar melalui pendekatan pembelajaran singkat tetapi berterusan.

“Sekarang ini paradigma kaedah pembelajaran murid itu perlu diberi keutamaan. Jadual pengajaran perlu diubah secara total, pecahkan unit-unit pembelajaran dari 40 minit kepada lima hingga 10 minit sahaja bagi merangsang minat pelajar.

“Buat video atau presentation yang pelajar boleh tengok bila-bila masa. Saya percaya ada antara guru sudah ke depan dalam soal ini tetapi belum menyeluruh dan terus menggunakan pendekatan lama,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan gesaan beberapa pihak kepada Kementerian Pendidikan untuk menyediakan semua keperluan dan menyelesaikan segala masalah yang berbangkit sekiranya berhasrat untuk melanjutkan sesi PdPR sehingga Ogos ini.

Sesi PdPR yang melibatkan 4,799,814 pelajar di seluruh negara yang dijadual berakhir pada 14 Julai ini (termasuk cuti penggal), mungkin tidak memberikan pilihan kepada kerajaan yang mahu mengurangkan risiko penularan Covid-19 yang meningkat 7,857 kes, semalam. – UTUSAN

Tiada ulasan: