Sabtu, 29 Mei 2021

JHEAINS tangguh permohonan kebenaran berkahwin

Oleh NOR SHAFAWATI YUP 
 
  Gambar hiasan

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menangguhkan semua jenis permohonan kebenaran berkahwin bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, keputusan itu diambil berikutan penularan dan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Zaidi, bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin sebelum tarikh itu adalah dibenarkan untuk meneruskan perkahwinan.

“Namun, majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di JHEAINS atau pejabat agama Islam daerah bergantung kepada kekosongan tarikh yang telah dijadualkan.

“Bagi yang telah menghantar permohonan kebenaran berkahwin sebelum tempoh penangguhan dilaksanakan tetapi belum mendapat kebenaran tersebut, tidak perlu membuat permohonan baru sebaliknya perlu menghubungi pejabat agama Islam daerah bagi mendapatkan kebenaran selepas tamat tempoh penangguhan,” katanya menerusi satu surat pekeliling di sini hari ini.

Tambah beliau, JHEAINS juga masih menerima pakai keputusan saringan HIV yang hanya sah selama enam bulan sebelum ini melalui pelanjutan tempoh sah lakunya sehingga tiga bulan selepas PKP.

“Bagaimapun pemohon perlu ke pejabat agama Islam daerah masing-masing untuk mendapatkan pelanjutan tempoh berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: