Ahad, 30 Mei 2021

Jangan pinggir ibu tunggal ketika ‘lockdown’

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
LEE LAM THYE

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus kepada golongan ibu tunggal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang akan dilaksanakan 1 Jun.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan memberi bantuan secara terus kepada golongan ibu tunggal yang terkesan sebelum ini.

Katanya, ini kerana ibu tunggal antara golongan yang paling teruk terjejas sewaktu PKP dilaksanakan selepas rata-rata daripada mereka kehilangan sumber pendapatan.

“Kebanyakan ibu tunggal bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan disebabkan PKP, malah kebanyakan ibu tunggal tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung hidup mereka dan keluarga.

“Sentiasa rajinkan diri untuk mengambil berat tentang keluarga mereka khususnya yang masih mempunyai anak kecil. Ini bagi memastikan mereka tidak terjejas tatkala PKP seluruh negara dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Lam Thye berkata, ibu tunggal mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak terutama membabitkan kewangan, tempat tinggal mahupun barangan asas.

“Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pemberian bantuan kepada 300,000 orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang layak untuk menerima bayaran secara one-off atau sekali bayaran berjumlah RM300 telah menerima bantuan sebelum Hari Raya Aidiladha tahun lepas. Bantuan ini telah diumumkan berikutan golongan ini adalah antara yang terkesan dengan PKP yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19,” jelasnya. UTUSAN

Tiada ulasan: