Ahad, 16 Mei 2021

PPV terbesar bakal dibuka di Bukit Jalil

 Oleh NUR HUDA MUSA

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai ‘test case’ bagi melihat keberkesanan PPV berskala besar sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, peningkatan jumlah kapasiti sehingga empat kali ganda berbanding kapasiti asal 2,000 adalah bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Malaysia.

“Sebuah lagi PPV mega akan dibuka di Stadium Bukit Jalil dalam masa terdekat.

“Beberapa hari ini, kita akan meningkatkan kapasiti sehingga 7,000 dan WTC Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai test case untuk PPV berskala mega di Malaysia. Kita akan laksanakan PPV mega di tempat lain juga,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan supaya tidak hadir secara walk-in untuk mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana PPV.

“Kalau tiada janji temu, jangan datang. Walk-in hanya akan meletakkan diri anda dalam bahaya.

“Kedua, jangan datang awal dan menyebabkan kesesakan kerana tempat adalah terhad. Ketiga, kalau mereka yang berstatus Pesakit Bawah Siasatan (PUI), jangan datang. Kita boleh kesan waktu imbasan MySejahtera dan paksa mereka balik.

“Kita akan jadualkan semula janji temu mereka, jangan datang. Ini adalah bahaya dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: