Oleh KOSMO!
JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di mukim Sumber di Banjarsari, Kota Solo dalam wilayah Jawa Tengah terpaksa diperintahkan menjalani kuarantin selepas 22 penduduknya disahkan positif Covid-19, lapor Suara.com kelmarin.
Sebanyak 55 keluarga di Sumber sedang menjalani kuarantin dan 22 daripada mereka disahkan positif Covid-19.
“Kami menerima laporan daripada Pengerusi Kelurahan Sumber bahawa penduduknya diarah menjalani kuarantin.
“Terdapat 55 keluarga yang sedang menjalani kuarantin selepas 22 orang dilaporkan positif Covid-19 sejak 3 hari lalu,” kata Setiausaha Pusat Perintah Covid-19 Muhammadiyah PDM Solo, Teguh Wahyudi.
Susulan laporan tersebut, kampung itu telah disembur cecair sanitasi tengah hari kelmarin.
Teguh berkata pihaknya komited untuk mencegah penularan wabak Covid-19 termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Salah seorang penduduk kampung, Triyono mengaku proses sanitasi yang dijalankan di kampungnya itu boleh membantu memutuskan rangkaian Covid-19.
Menurutnya, beberapa penduduk menjalani kuarantin di pusat kuarantin asrama Haji Donohudan dan ada juga menjalani kuarantin di rumah sendiri.
“Semoga semuanya segera sembuh,” katanya. -Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan