Ahad, 16 Mei 2021

Pergerakan pulang pelajar ke kampus bermula hari ini

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Pergerakan pulang secara bersasar itu membabitkan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dihantar oleh ibu bapa atau penjaga dan menggunakan bas yang diselaraskan oleh pihak IPT. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampus masing-masing bermula hari ini hingga 20 Mei depan.

KPT menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pergerakan pulang secara bersasar itu membabitkan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dihantar oleh ibu bapa atau penjaga dan menggunakan bas yang diselaraskan oleh pihak IPT.

Beliau berkata, pergerakan pelajar menggunakan kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Hanya pelajar yang memasuki Sabah sahaja diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum pergerakan ke Sabah dan tertakluk kepada arahan semasa kerajaan negeri.

“Bilangan ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak adalah tidak melebihi dua orang sahaja tidak termasuk pelajar.

“Manakala, tempoh masa maksimum yang dibenarkan untuk menghantar anak adalah dua hari dari tarikh yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, pelajar latihan industri dibenarkan pulang dan kembali ke tempat latihan mereka selepas tamat cuti Aidilfitri.

Selain itu, katanya, kos pergerakan kembali ke kampus, termasuk bagi menjalani ujian swab adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri.

Jelasnya lagi, terdapat enam kategori pelajar yang tidak perlu mendapatkan kebenaran polis bagi pergerakan pulang ke kampus.

“Pergerakan ibu bapa atau penjaga pelajar yang perlu merentas daerah atau negeri perlu membawa bersama surat pelepasan perjalanan rentas daerah atau negeri yang dikeluarkan oleh IPT dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN.

“Pergerakan itu bagaimanapun tidak perlu memohon kebenaran daripada pihak polis,” katanya.-K!ONLINE

Tiada ulasan: