Jumaat, 14 Mei 2021

Polis tahan pemuda bantu siasatan perhimpunan, bakar suar di Parit Raja


SUASANA Aidilfitri di Batu Pahat semalam, tercemar dengan sikap tamadun kumpulan mat rempit yang membakar suar sehingga menganggu ketenteraman awam.

Bagaimanapun polis bertindak pantas apabila menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat itu yang tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata lelaki tempatan berumur 21 tahun itu ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kejadian di Balai Polis Parit Raja, Batu Pahat, kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, sebelum itu, polis telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam pada jam 11.04 pagi semalam.

Ekoran daripada itu, beberapa anggota katanya telah pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan oleh orang awam.

“Namun tidak lama selepas itu, polis menerima pula aduan tentang satu video perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’ tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain yang dinaikkan semasa perhimpunan berkenaan adalah kain rentang sama yang digantung di jejantas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau menambah polis juga menerima beberapa laporan yang memaklumkan terdapat aktiviti Mat Rempit di kawasan terbabit dari jam 12 tengah malam Rabu hingga 1 pagi Khamis.

Oleh itu, katanya, polis akan mempertingkatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan di daerah itu khususnya kawasan Parit Raja.

Dalam masa sama, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu terbabit dan usaha untuk mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 144/269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Tiada ulasan: