Jumaat, 14 Mei 2021

Naik drastik 440 ingkar SOP hari pertama PKP

Oleh AMREE AHMAD

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam menyaksikan kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) terus naik mendadak.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 440 individu ditahan berbanding hanya 236 individu dicekup kelmarin dan 475 individu diberkas pada Rabu lalu.

“Daripada jumlah itu, 435 dikompaun manakala lima lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes itu ujar beliau, mencatatkan lonjakan kepada 185 kes berbanding sehari sebelumnya, diikuti tidak memakai pelitup muka (138), gagal mematuhi jarak fizikal (15) dan lain-lain (102).

“Sebanyak 118 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.

Operasi itu juga menjalankan 481 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam yang turut meliputi 44 oleh pihak polis dan baki sembilan lagi melibatkan Agensi Kawalan Sempadan.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai hanya 514 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarah menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Seramai 7,454 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 75 hotel serta sembilan institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Sejumlah 1,964 individu terlibat telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 193,028 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan sejumlah 1,510 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat itu didapati mematuhi peraturan. -UTUSAN

Tiada ulasan: