Jumaat, 14 Mei 2021

Penduduk Palestin mati akibat sesak nafas, Israel didakwa guna ‘bom beracun’

Kepulan asap dari sebuah menara menjulang ke udara selepas dibedil tentera rejim Zionis di Gaza, baru-baru ini. Foto MEDIA SOSIAL

KEMENTERIAN Kesihatan di Gaza semalam mengesahkan bahawa sejumlah penduduk Palestin mati sesak nafas akibat gas beracun yang berasal dari peluru berpandu Israel yang meledak semasa serangan udara tentera rejim di Genting Gaza yang terkepung, minggu ini.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, Kementerian Kesihatan berkata, sejumlah mangsa serangan udara tentera rejim di Gaza dibawa ke Pusat Perubatan al-Shifa di mana mereka menjalankan penilaian forensik yang menentukan sesak nafas sebagai penyebab utama kematian mereka.

Pakar forensik mendedahkan,  mangsa menunjukkan gejala luar yang menunjukkan bahawa kemungkinan mereka menyedut gas beracun sementara mereka mengambil sampel untuk ujian lebih lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, koresponden WAFA melaporkan, dua penduduk Palestin dan lapan orang lagi cedera dalam serangan udara rejim Zionis di Genting Gaza.

Seorang penduduk Palestin berjalan kaki melintasi sebuah 
pangsapuri yang ranap dibedil tentera rejim Zionis di Gaza 
baru-baru ini. Foto MEDIA SOSIAL

Menurutnya, jet pejuang Israel menyasarkan sekumpulan penduduk di kawasan Abraj al-Nada di utara pekan Beit Lahia membunuh seorang penduduk dan mencederakan lapan yang lain 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Indonesia untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jet pejuang rejim turut membedil sekumpulan penduduk Palestin di kawasan al-Turkman di kawasan perumahan al-Shajaiya, timur bandar Gaza membunuh seorang penduduk.

Mangsa dibawa ke Kompleks Perubatan al-Shifa untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat sepasang suami isteri daripada runtuhan sebuah rumah yang dibedil tentera rejim di kawasan Sheikh Zayed di pekan Beit Lahia, semalam.

Angka kematian di Gaza terus meningkat masuk hari keempat serangan darat dan udara tanpa henti di Gaza yang menyaksikan serangan terbesar sejak perang 2014.

Menurut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, 83 orang penduduk Palestin terbunuh termasuk 17 kanak-kanak, tujuh wanita dan seorang warga emas ketika 487 yang lain cedera akibat serangan Israel yang berterusan di Genting Gaza.

Tentera rejim melakukan ratusan serangan udara dengan mendakwa sasaran yang dibedil adalah lokasi tentera.

Bagaimanapun pengeboman itu menyasarkan dan meranapkan pangsapuri, menara, kediaman, pejabat kerajaan, pejabat media, bank dan jalan raya serta beberapa kemudahan awam di Genting Gaza.

Sebanyak dua juta penduduk Palestin tinggal di Genting Gaza yang berdepan sekatan Israel sejak 12 tahun lalu dan serangan udara berterusan membawa kerosakan besar kepada infrastruktur semenanjung berkenaan.

Keganasan polis Israel terhadap umat Islam Palestin di Baitulmuqaddis hingga mengakibatkan ratusan penduduk cedera minggu lalu mendorong Hamas yang menguasai Gaza melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap kekejaman Israel.

Tiada ulasan: