Ahad, 23 Mei 2021

PKP menyeluruh beri kesan terbesar kepada golongan rentan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, PKP menyeluruh 
akan meningkatkan pengangguran dan memudaratkan rakyat termasuk impak 
sosial yang akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki. (Gambar 
Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.8 juta pekerja informal berisiko tinggi hilang punca pendapatan jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilakukan secara menyeluruh, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz.

Jika sektor ekonomi ditutup, bilangan rakyat yang menganggur dijangka mencecah satu juta, katanya dalam satu sidang media hari ini. Ini akan memberi impak kepada 4 juta rakyat berdasarkan purata empat orang bagi setiap keluarga.

“Kesan PKP menyeluruh akan lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal. Kita juga perlu ingat bahawa sektor pembuatan dan perkilangan juga menggaji ramai rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah,” katanya.

Dengan situasi seperti ini, PKP secara menyeluruh bukan sahaja akan meningkatkan pengangguran tetapi juga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat termasuk impak sosial yang akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.

Tengku Zafrul berkata, semasa PKP 1.0, 68 % perniagaan melaporkan tiada jualan/hasil semasa, 42.5% perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih dan dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau akan menanggung tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengimbangi antara melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah secara PKP yang bersasar dan diperketatkan dan bukan PKP secara menyeluruh, jelas beliau.

Tambahan pula, kerajaan komited untuk meneruskan pelbagai bantuan bersasar bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas. Pelbagai bantuan terus disalurkan sepanjang tahun ini.

Antaranya ialah, kerajaan telah menyalurkan RM4.68 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat yang memanfaatkan 8.4 juta penerima B40.

Program peningkatan kemahiran dan bakat pula memberi peluang pekerjaan bagi 137,290 orang.

Selain itu, subsidi upah membantu lebih daripada 330,000 majikan dalam mengekalkan 2.7 juta pekerjaan

Bagi sektor perniagaan pula, masih terdapat dana pinjaman mudah untuk PKS sebanyak RM5.2 bilion daripada Bank Negara Malaysia dan kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM39 bilion melalui Skim Jaminan Danajamin PRIHATIN.

Bagi PKS mikro, Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM0.9 bilion telah disalurkan dan selanjutnya, pada bulan Jun 2021, GKP 3.0 sebanyak RM1 bilion (atau RM1,000 kepada 1 juta PKS mikro) akan dibayar.

Bantuan bayaran balik bersasar pula daripada 1.6 juta permohonan, 95% telah diluluskan.

Tiada ulasan: