Negara hilang RM2.4 bilion sehari ketika pelaksanaan PKP 1.0
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diperketatkan (PKP 3.0) dijangka memberi kesan sehingga satu peratus ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh pelaksanaan selama satu bulan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz .
Beliau memberi contoh, semasa PKP pertama yang berlangsung mulai 18 Mac hingga 3 Mei 2020, Malaysia kehilangan sekitar RM2.4 bilion setiap hari sementara semasa PKP 2.0 dari 13 Januari hingga 18 Februari 2021, negara kehilangan wang sejumlah RM300 juta hingga RM400 juta sehari.
“Kami masih mengkaji kesannya, walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan, kami menganggarkan sepanjang PKP 3.0, impaknya boleh mencecah sehingga satu peratus.
“Kami akan memberitahu angka sebenar selepas analisis yang terperinci dibuat,” katanya pada satu sidang media maya hari ini.
Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dikuatkuasakan di bawah PKP 3.0, Tengku Zafrul menjelaskan ini dapat menurunkan pertumbuhan KDNK kepada sekitar lima hingga 6.5 peratus bagi 2021, sedikit lebih rendah daripada sasaran enam hingga 7.5 peratus yang diramalkan oleh Bank Negara Malaysia sebelumnya.
“Ketika kami menyasarkan pertumbuhan KDNK 2021 pada enam hingga 7.5 peratus, kami tidak menjangkakan akan wujud satu lagi PKP.
“Ia sudah pun berlaku sekarang, dengan ini, KDNK mungkin susut kepada lima hingga 6.5 peratus, tetapi sekali lagi, ini hanya anggaran dan kami sedang melihatnya dengan teliti,” kata beliau.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan sekatan tambahan untuk mengetatkan SOP PKP 3.0 yang akan dilaksanakan melalui dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah (WFH) dan mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei ini untuk Semenanjung dan Labuan.
Langkah itu bertujuan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan dengan itu mencegah penyebaran COVID-19 yang lebih serius.
Tengku Zafrul ketika mengulas mengenai perkara tersebut menyatakan setiap keputusan yang akan diambil mempunyai impak yang berbeza kepada nyawa dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya kawalan terlalu ketat dan ekonomi ditutup, ya… kes COVID-19 dikurangkan tetapi pada kos yang tinggi kepada rakyat, tetapi jika kawalan terlalu lemah, ia akan menyebabkan lonjakan kes COVID-19 yang kemudiannya, akan merosakkan ekonomi,” katanya.
Oleh itu, kerajaan telah mengambil pendekatan yang seimbang bagi mewujudkan situasi yang akan menguntungkan semua pihak terlibat.
“Kami membiarkan ekonomi terus berjalan tetapi dengan SOP yang diperketatkan bagi mengawal penularan COVID-19 dan pada masa yang sama, melindungi kehidupan rakyat,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan