PETALING JAYA: Lima pencandat sotong bernasib baik memakai jaket keselamatan apabila terapung di laut selama lebih lima jam selepas bot dinaiki karam di perairan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.
Seorang daripadanya, pengemudi bot Yuzree Mahmud, 50, berkata dia berenang sambil meniupkan wisel pada jaket keselamatannya untuk menarik perhatian sebaik melihat bot kayu.
“Alhamdulillah, saya diselamatkan nelayan yang mengemudi bot kayu berkenaan dan kemudian kembali semula ke tempat kejadian untuk menyelamatkan tiga rakan saya yang lain,” katanya dipetik daripada Bernama.
Mereka kemudian dibawa nelayan ke Jeti Kastam Pengkalan Kubor.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka yang hanyut ke tempat lain turut ditemui selamat pada 2.30 pagi tadi oleh bot lain dan dibawa ke Jeti Kuala Besar.
Mengulas lanjut, Yuzree berkata dia bersama rakan-rakannya yang berusia antara 35 hingga 55 tahun bertolak ke laut untuk mencandat sotong pada 3.30 petang semalam.
“Selepas hampir 30 minit bertolak dari Jeti Tok Dokang, Banggol dan berada hampir 18km dari daratan iaitu sebaik selesai menunaikan solat asar, saya melihat dua angin puting beliung setinggi 30 kaki yang hanya jarak kira-kira 200m dari bot kami.
“Khuatir dengan keadaan itu, saya terus mengalihkan bot ke arah lain, namun hanya sempat meneruskan perjalanan kurang dari 2km sebelum saya menjatuhkan sauh kerana angin sudah terlampau kuat sehingga bot kami karam kerana dimasuki air ekoran ombak yang terlalu kuat,” katanya sambil memberitahu puting beliung itu berlaku hampir satu jam.
“Dalam sekelip mata sahaja saya melihat air di dalam bot hampir penuh sebelum mengarahkan rakan-rakan untuk terjun ke laut ‘berbekalkan’ tong ikan dan tong makanan yang ada untuk dijadikan pelampung.
“Keadaan mungkin lebih bahaya sekiranya kami masih kekal berada di dalam bot itu yang hampir karam.
“Ketika itu, saya hanya mampu berdoa tidak putus-putus kepada Allah SWT agar ada orang yang berdekatan di sekitar itu ternampak bot kami,” katanya yang pertama kali berdepan pengalaman menakutkan itu selepas 20 tahun menjadi pencandat sotong.
Yuzree bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan berasa sangat bernasib baik kesemua mereka memakai jaket keselamatan sekali gus membantu mereka bertahan di laut.
“Alhamdulillah, kami semua selamat dengan hanya ada cedera ringan sedikit, namun tidak serius selain hanya mengalami lenguh-lenguh badan akibat berada terlalu lama di laut dan berenang dalam jarak yang jauh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata selain Yuzree, mangsa yang terlibat ialah Che Muhamad Sabri Che Noh, 55, Norman Hishah Abd Rashid, 42, Muhamad Suhalim Ibrahim, 46, dan Mohamad Azml Mustafa, 35.
“Empat mangsa ditemui selamat oleh nelayan berdekatan lebih kurang 13 batu nautika atau 24km dari daratan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar Badang, 9.30 malam tadi, manakala seorang lagi ditemukan tidak jauh dari lokasi rakan-rakannya diselamatkan,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan